NOVEMBER 2023

Sarawak Komited Jadi Sebahagian Rantaian Bekalan Global Ekonomi Islam


KUCHING: Sarawak komited untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global ekonomi Islam.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, permintaan untuk barangan dan perkhidmatan Halal dijangka meningkat dengan perbelanjaan global diramalkan mencecah 2.8 trilion Dolar Amerika Syarikat (USD) menjelang tahun 2025.

“Oleh itu, Sarawak ingin menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global ekonomi Islam untuk menyediakan bukan sahaja produk dan perkhidmatan Halal, tetapi juga penyelesaian untuk menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Selasa.

Makan Malam Gala GMBF turut dihadiri oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Republik Indonesia Profesor Dr Ma’ruf Amin.

Tambahnya, Sarawak juga sedang membangunkan ekosistem untuk mengubah ekonomi negeri ini yang menawarkan pelaburan dan peluang perniagaan yang luas untuk dunia termasuk ekonomi Islam yang kian meningkat.

Sumber dari : Sarawakku